19 March 2010

Puisi Buatmu Guru

Catatan Buat Pendidik
Telah kian tahun kau mewasiatkan ilmu tulis baca
Menyampaikan kisah demi kisah insan-insan yang Berjaya
Manusia-manusia yang tersesat dalam pencarian di kota ilmu
Kau ceritakan semua dalam lembut dan berhemah
Demi menyuburkan semangat anak bangsa
Menggembling usaha memburu cita-cita.

Sesekali barangkali kau merasa lelah pada perjuangan yang sia-sia
Anak bangsa yang kau didik memilih perjalanan yang sulit
Kecewa dan bersalah pun merantai sukma
Hingga kau merasa terseksa dan meronta
Namun renungkan sudah berapa ramai terlahirnya cendikia
Dari sentuhanmu yang keramat itu.

Kalau saja tiba-tiba kau merasa terlalu penat berhujah
Dan mereka seperti tidak mengerti apa-apa
Usah mengalah pada ragam yang tidak mampu kau tafsir maknanya
Fikirkan sudah berapa ramai ahli debat di dewan kehakiman
terlahir dari seorang insan yang mendidik penuh ketabahan
fikirkan sesuatu yang membersit roh kebanggaan.

Kalau saja pula tiba-tiba kau terlontar jauh di pedalaman
Terasing dari kota yang gemerlapan hiburan
Terputus kabar berita dari kekasih mahupun suami tersayang
Lalu rindu pun memanggilmu pulang jauh di tanah kelahiran
Apakah kau akan berpaling dari perjuangan
Berlari dan terus berlari meninggalkan suara-suara pedalaman
Atau akan tegar kau melangkah menyahut seruan.

Kalau sahaja pedalaman memanggilmu,
Pergilah dengan rela dan bukan terpaksa
Kerana anak-anak itu rindu pelukan guru mereka
Di dada mereka penuh cita-cita menakluk dunia
Maka engkaulah perintis jalan itu buat mereka
Dengan keyakinan mu belantara di pedalaman itu akan bercahaya.

Untukmu guru,
Selamat membina keyakinan demi mendidik anak bangsa
Pengorbananmu tidak akan sia-sia
Sehabis hayat di dunia,
Gelaran itu kau kuusung ke pusara.Terima kasih guru,
Terima kasih untuk segalanya.

No comments:

Post a Comment