07 May 2011

Cerpen : Kalawon Murut

Kalawon Murut

Suasana perkampungan rumah panjang yang biasanya meriah, tiba-tiba petang itu bertukar hiba sambil sesekali kedengaran esak tangis yang menyayat hati. Rumah panjang yang terletak di kampung Silungai mukim Pegalungan menerima sebuah berita duka. Talimoh Bin Batanda, seorang Kalawon Murut merangkap ketua kampung yang sangat disegani itu telah pergi selamanya kepada yang Maha Kuasa. Dan tetangga yang terkejut menerima berita itu, masing-masing kebingungan seakan tidak percaya bahawa Sang Kalawon Murut itu sudah meninggalkan mereka selamanya.

“Tadi pagi, dia sempat lagi bah minta buat saya Enau sama sup ikan Salarong. Lepas makan Enau, dia cakap dia sakit dada dan susah bernafas. Saya suruh si Ansatu urut bapa dia. Tau-tau tidak sampai sepuluh minit dia sudah tiada” Dan Ambunga isteri kepada Sang Kalawon Murut itu, akan mengulang-ulang cerita yang sama setiap kali para tetangga bertanya punca kematiannya. Lalu tiap detik itu jugalah air matanya mengalir menangisi sebuah kehilangan. Ansatu, yang ura-ura mengatakan akan menggantikan tempat mendiang bapanya sebagai Kalawon Murut, kelihatan cukup tenang. Sesekali dalam renyai hujan, dia memalu gong sebagai isyarat perkabungan dan sesekali lolongan anjing panjang kedengaran.

Genap tiga hari, maka detik-detik terakhir Sang Kalawon yang berkelana di dunia manusia itu pun sampai ke penghujung. Sebelum mentari terik di atas kepala, keranda kayu yang penuh ukiran itu akan diusung menuju perkampungan abadi. Sebelum keberangkatan, sebagai anak tua, Ansatu membaca riwayat bapanya itu untuk penghormatan yang terakhir kali. Dan gambar-gambar Sang Kalawon yang tergantung di ruang tamu, perlahan-lahan diterbalikkan sebagai tanda dia sudah tiada.

“Talimoh Bin Batanda lahir pada 12 Julai 1940. Dia adalah seorang suami dan seorang bapa yang penyayang. Selama hampir lima belas tahun, dia menjadi ketua kampung yang memimpin perjalanan dan perjuangan kita di kampung ini. Dia juga seorang kawan dan sahabat yang selalu ada saat diperlukan. Dia lelaki gagah lagi perkasa yang mampu menebas hutan belantara menjadi sebuah perkampungan. Dia hebat bermain senjata, menyelam di sungai deras dan dialah Kalawon Murut yang pernah berjuang mengusir penjajah. Kini Kalawon Murut kita ini sudah tiada, dan yang tertinggal buat kita hanya kenangan” Lalu keranda kayu itu pun diusung menuju tanah perkuburan.

Sudah hampir dua minggu perginya Sang Kalawon namun kehilangannya masih diratapi oleh seluruh masyarakat kampung. Mereka bagai seorang anak yang kehilangan orang tua sebagai tempat bergantung. Lebih merisaukan, jawatan ketua kampung yang automatiknya merangkap Kalawon Murut juga masih kosong dan belum terisi. Entah mereka sendiri keliru menentukan siapa yang layak. Ansatu yang ura-ura panas mengatakan akan mewarisi takhta mendiang bapanya dilihat sebagai calon paling sesuai. Tetapi dari satu sudut ada juga yang mengatakan dia masih mentah malah ilmunya terlelalu cetek. Berita pencarian Kalawon Murut Baru cepat tersebar di perkampungan hutan hujan tropika itu. Malah berita itu lebih cepat tersebar berbanding berita kematian Kalawon Lama. Lalu satu jawatankuasa yang dianggotai oleh orang-orang lama pun dibentuk bagi mencari resolusi siapa yang lebih layak menjadi Kalawon Murut seterusnya.

“Saya fikir, Ansatulah calon yang paling layak menjadi Kalawon Murut” Aman Pulutan antara orang lama di kampung itu meletak kepercayaan ke atas bahu pemuda yang baru kehilangan bapanya itu.

“Tapi saya rasa kau juga layak bah Pulutan jadi Kalawon Murut. Kau sahabat karib kepada Kalawon Lama kita. Kau banyak tahu tentang adat-adat bangsa kita.” Aman Simukol pula lebih percaya kepada keupayaan si Aman Pulutan. Dan dengan hujah Aman Pulutan membalas kata-kata sahabatnya itu.

“Begini bah Simukol, kita ini orang-orang lama. Kita dari muda sudah biasa menjadi ketua. Kita sudah biasa merantau sampai ke Lumbis, ke Mansalong dan Kabupaten Malinau. Jadi sekarang kita mesti bagi peluang sama anak-anak muda kita untuk jadi ketua. Kita ini cuma memerhati saja dari jauh dan menolong bila perlu” Mendengar itu, Aman Simukol dan ahli mesyuarat yang lain mengangguk-angguk.

“Em, kawan-kawan saya rasa si Jamadin anak si Samaan itu pun boleh jadi Kalawon. Kamu ingatkah masa pesta menuai bulan lalu dia kasih sumbang dua ekor kerbau dan lima ribu ringgit. Lagi pun dia anak jati kampung kita juga” Aman Linus tiba-tiba mencalonkan satu nama bukan pilihan. Malah nama itu tidak terlintas pun di fikiran yang lain untuk disebut.

“ Si Jamadin, bolehkah dia jadi Kalawon Murut? Mampukah dia jadi ketua kampung dan pemimpin?” Hampir semua ahli mesyuarat meragui kemampuan anak muda yang tiba-tiba mendapat undian dalam carta pemilihan Kalawon Baru.

Bagi dia peluang bah. Lagi pun dia banyak membantu orang-orang kita”

“Baiklah, ada siapa-siapa lagi yang kamu mahu memberi cadangan. Kalau tiada kita sebulat suara memilih Ansatu dan Jamadin sebagai Kalawon Murut” Aman Pulutan bersuara.

“Hah, dua-dua jadi Kalawon, jadi ketua kampung. Mana boleh” Mereka semua membantah keliru.

“Bukan, begini bah kita calonkan mereka berdua. Kita buat undian siapa yang lebih banyak dipilih, dialah Kalawon. Kalau ikut kelayakan memang Ansatu layak tapi seperti yang si Linus cakap, kita tidak boleh juga membelakangkan Si Jamadin sebab dia banyak berjasa untuk kampung ini. Jadi nanti pandai-pandailah orang kampung pilih Kalawon yang benar-benar layak” Lalu mesyuarat petang itu pun bubar mewujudkan dua pencalonan dan yang paling ironi barangkali yang dicalon itu sendiri tidak tahu dirinya tercalon terutama si Jamadin pemuda murut yang berwajah polos.

Ansatu tersenyum bangga saat dimaklumkan bahawa dia dicalonkan sebagai Kalawon Murut. Dia tidak terkejut dengan berita itu malah dari awal-awal lagi dia sudah menjangkakannya. Dia sendiri yakin dia layak. Seluruh hutan belantara di kawasan kampung mereka itu sudah dihafalnya mana yang landai, mana yang curam, mana yang banyak babi buruan dan mana yang berpacat. Adat istiadat Murut juga dia lebih maklum termasuk pantang larang dan denda sesuatu kesalahan. Di matanya Jamadin hanya anak mentah yang terlalu naif menyelami kehidupan seorang Kalawon Murut.

“Bah saya setuju juga bah kalau Aman Linus fikir saya memang layak untuk bertanding merebut kerusi Kalawon Murut. Lagi pun saya juga berhasrat untuk membantu orang-orang kita dalam semua aspek. Tapi itu semua juga bergantung kepada undian orang-orang kampung. Apa pun terima kasih sekali lagi kerana Aman Linus memberi saya kepercayaan.”

Dan sesungguhnya, pemuda bernama Jamadin itu sedikit terkesima saat Aman Linus memaklumkan kepadanya berita pencalonan itu. Dia tahu, untuk menjadi Kalawon Murut bukan mudah tapi demi mengubah bangsanya yang jauh ketinggalan dia rela berkorban. Namun, untuk menggulingkan Ansatu juga bukan mudah. Dia memiliki barisan jentera yang kuat malah dia lebih dikenali di rimba belantara ini. Tetapi, sesungguhnya tiada yang mustahil.

Tidak pernah berlaku dalam dekad-dekad lepas, kampung mereka ini akan tumbuh dua fahaman yang berbeza. Satu fahaman yang menyokong Ansatu dan mereka percaya bahawa untuk menjadi seorang Kalawon Murut dia harus bijaksana bermain senjata, tangkas berburu di hutan luas, mahir menyelam dan tahu selok belok budaya orang murut. Dan fahaman ini dianggotai oleh orang-orang lama yang masih kental kepada kepercayaan aninisme. Manakala fahaman yang kedua adalah mereka yang menyokong propaganda seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi yang percaya bahawa seorang Kalawon Murut harus intelektual demi membasmi kemunduran bangsanya. Dipelopori oleh Jamadin Samaan dan penyokong-penyokongnya terdiri dari anak-anak muda yang sudah pernah keluar melihat pembangunan di tempat orang.

Sebelum waktu pengundian tiba, bertempat di balairaya kampung Silungai kedua-dua calon tersebut diberi peluang untuk berdebat dan meraih undi daripada seluruh masyarakat kampung. Bagi orang-orang kampung, peristiwa itu adalah suatu sejarah yang julung-julung kali berlaku di kampung mereka. Ansatu tiba lebih awal dengan berpakaian tradisi murut dan kakinya yang agam itu penuh dengan ukiran. Wajahnya ketus seperti baru sahaja kembali dari medan tempur dengan kemenangan memenggal kepala lawan. Jamadin Samaan tiba beberapa minit kemudian. Wajahnya tetap polos, tenang dan kaca matanya itu ternyata memperlihatkan keintelektualan. Dia melangkah yakin meski cuma memakai kemeja biru laut dan seluar hitam. Sidang debat pun bermula.

Kansayaan Ra Susuab Pahaka-Pahaka Ku Kakawi” Ansatu memulakan medan debatnya dengan ucap selamat buat mereka yang hadir. Dia merenung mereka satu-satu dan dia menyambung pengucapannya lagi. “ Pahaka-pahaka, sudah jadi adat bagi kita untuk memilih seorang Kalawon Murut yang dapat menyambung warisan dan tradisi kita. Pertama sekali, terima kasih untuk pahaka-pahaka yang memilih saya sebagai calon dan meyakini kemampuan saya. Sebagai anak kepada bekas Kalawon Lama, sudah tentu saya lebih banyak pengetahuan, pengalaman dan kelebihan. Seperti yang pahaka-pahaka, tahu saya cekap berburu, mahir bermain sumpitan malah saya yakin pahaka-pahaka semua masih ingat saya pernah mengalahkan seekor buaya ketika sedang dalam perjalanan ke Salong. Kawasan petempatan di atas bukit seperti yang pahaka-pahaka lihat, itu pun diteroka oleh saya bersama mendiang bapa saya. Hubungan baik penduduk – penduduk kampung ini dengan Kalimantan Indonesia terutama sekitar Lumbis juga atas usaha saya dalam mencari persaudaraan.

“Jadi adakah pahaka-pahaka, belum yakin dengan kemampuan saya? Adakah pahaka-pahaka masih mahu memilih calon lain yang jarang berada di kampung ini kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan. Cuba bayangkan jika tiba-tiba kampung kita ada masalah dan waktu itu juga Kalawon Murut tiada di kampung ini. Kepada siapa pahaka-pahaka mahu merujuk. Bukankah itu suatu kesulitan bagi kita. Sedarkah pahaka-pahaka, walaupun kita dikatakan ketinggalan tapi kita hidup aman damai. Sedangkan calon yang satu lagi mahu membawa pembangunan buat kita. Cuba bayangkan jika dia meminta kepada kerajaan agar memindahkan kita ke petempatan baru atas alasan jarak yang terlalu jauh. Sanggupkah pahaka-pahaka meninggalkan kampung ini? Tidak mustahil kita akan pecah belah seperti yang terjadi kepada pahaka-pahaka kita di Salarom. Mereka terpisah oleh petempatan baru dan timbulnya Salarom Taka dan Salarom Baru. Pahaka-pahaka mahu itu terjadi? Kalau tidak mahu, pilihlah saya sebagai Kalawon Murut yang baru”

Hujah demi hujah yang dilontarkan oleh Ansatu mendapat tepukan gemuruh. Saat dia mengutarakan isu petempatan baru, hampir seluruh isi sidang mengangguk-angguk dengan wajah mereka terlihat kegusaran. Barangkali mereka sama sekali tidak mahu nasib yang menimpa masyarakat Salarom menimpa mereka juga. Walhal mereka tidak sedar semuanya itu demi untuk kelangsungan sebuah bangsa iaitu Murut agar dapat sama menikmati pembangunan. Dan beban yang digalas oleh Jamadin Samaan untuk mengubah cara berfikir bangsanya itu terlalu berat. Dengan langkah berani seorang graduan dia menuju ke depan.

“Selamat pagi, selamat sejahtera dan terima kasih buat saudara-saudara yang sudi hadir pada hari ini. Terima kasih juga kepada saudara-saudara yang telah memilih saya sebagai calon. Sebagai anak jati kampung ini dan sebagai anak murut asli saya juga yakin saya layak untuk menjadi seorang Kalawon Murut. Walaupun mungkin saya tidak sehebat Ansatu yang tangkas bermain senjata, bertarung dengan buaya dan menebas hutan rimba menjadi petempatan, saya akan membantu saudara-saudara dari sudut yang lain” Belum pun separuh isi ucapan yang dilemparkan oleh pemuda berwawasan itu, dia melihat ada yang sudah tertidur dengan dengkur meninggi. Ada yang ketawa mendengar cerita lucu teman di sebelah dan tidak kurang yang bertukar-tukar kotak mancis sambil asap berkepul memenuhi ruang udara. Belum cukup dengan itu, anak-anak kecil dengan baju besar, kaki telanjang dan lenja di pipi terpekik-pekik mengejar anak-anak anjing yang berkurap. Akhirnya suara pemuda itu tenggelam dan dia cuma bermonolog tentang perjuangan bangsanya sendirian. Lalu saat majlis itu bubar pun, dia tidak melihat sedikit pun perubahan dalam kotak minda orang-orang kampungnya melainkan penyokong-penyokongnya sahaja.

Hari ini dalam sejarah, begitulah setiap bibir mengungkapkan kalimat itu sambil tersenyum-senyum memegang kertas putih dengan gambar calon yang harus dipilih. Pelbagai karenah dan telatah yang mencuit hati dan menjengkelkan pun ada. Tentunya yang menjengkelkan itu adalah golongan-golongan mereka yang masih mahu berjuang untuk tradisi sedang tradisi itulah yang menjadikan mereka bertambah mundur.

Akhirnya, keputusan sudah terjangka dari awal dan Jamadin akur dengan keputusan itu. Ansatu Bin Talimoh unggul sebagai peneraju Kalawon Murut baru. Dia menang banyak dan dengan mudah mengalahkan lawannya Jamadin Samaan yang kepingin benar mengheret bangsanya menyapa kemajuan. Tapi apakan daya, seluruh warga telah membuat pilihan mereka dan dia akur dengan takdirnya.

Dalam rintik hujan, dia bermonolog lagi bahawa sesungguhnya untuk mengubah pemikiran sesuatu bangsa bukan mudah meski bangsanya sendiri. Untuk membuat mereka mengerti bahawa dunia yang sekarang ini sudah tidak memandang lagi tentang dunia kependekaran juga sesuatu yang sukar. Umumnya, untuk menyedarkan bangsa Murut dari lena bukan memakan masa sehari dua. Ia perjuangan yang panjang dan berterusan. Lalu dia yang selalu berfikir positif itu, berkata begini dengan berani, perjuanganku bukan berakhir sebenarnya tapi ia baru saja bermula.

Perlukah seseorang itu harus dulu menjadi Kalawon Murut untuk membantu memberi nafas kemajuan untuk bangsanya? Tidak! Sesiapa sahaja boleh menjadi wira meski dia orang kecil yang berjiwa besar. Lantas, Jamadin anak muda yang tidak terpilih menjadi Kalawon Murut itu tetap bertekad membantu seluruh warganya demi kelangsungan sebuah bangsa Murut yang berjaya.

“ Ansatu, kau barangkali memang telah ditakdirkan lahir sebagai Kalawon Murut dan aku memang juga telah ditakdirkan hidup sebagai seorang usahawan juga pemikir kehidupan” Tapi ketahuilah, aku tidak akan pernah menyerah apalagi mengaku kalah dalam membawa idealisme pembangunan buat kalian. Kerana aku sedar anak-anak kecil kita yang masih hijau memerlukan suatu anjakan paradigma dan kita harus menyokong mereka agar mampu mengheret bakat mereka keluar.

Tiba-tiba paluan gong keramian tanda pesta sedang bermula mengisi liang udara. Lalu gempitalah langit juga, menyambut kelahiran seorang ketua. Ansatu Bin Talimoh diarak keliling kampung,dan kini dialah Kalawon Murut Baru dan Jamadin Samaan tetap unggul menyulam falsafah demi falsafah tentang perjuangan bangsanya.

1. Enau : sejenis makanan ( sagu / ambuyat )

2. Kalawon Murut : Pahlawan Murut

3. Kansayaan Ra Susuab Pahaka-Pahaka Ku Kakawi : selamat pagi saudara-saudara ku sekalian

4. Pahaka-pahaka : saudara-saudara



07 April 2011

Pensiangan


















Sendirian di bumi hijau ini apakah yang bisa kuceritakan,
Selain sebuah kekaguman menatap agung ciptaan Ilahi
Damai yang mengalir menembusi setiap hembus nafas
Tenang membanjiri sukma saat kubersujud
Lalu gerimis hati menghantar syukur jauh ke riba pohon doa.

Ya Illahi,
Terima kasih kerana mengirim aku ke daerah paling tenang ini
Daerah di mana aku bisa mendengar gemersik alun sang bayu
Sayup-sayup ia berlari dari satu pepohon dan menggugurkan reranting tua
Gemersik reranting itu pun bisa tertangkap oleh telinga
Alangkah takjubnya melihat anugerahMu
Ya Rabbi, saat desir angin berhembus lembut sesekali kencang
Masa seolah terhenti melihat dedaun mati berguguran menampar rambutku
Lalu dengan kaki yang sengaja kubiar telanjang
Seperti pari-pari, aku berlari mengejar dedaun itu
Alangkah syahdu mengkagumi pemberianMu

Ya Rabbi, ketika malam yang menyulam kegelapan
Dari serambi teratak tua ini aku merenung jauh ke dada langit
Kutatap langit itu dengan rintik airmata yang mengalir
Seolah ada selembar surat cinta dari kekasih
Dan purnama yang indah itu perlahan-lahan menguak dada langit
Keluar dari kelambu persembunyian menyapa aku dengan senyum
Seolah purnama itu berkata
Aku datang kepadamu membawa jelita malam
Yang diciptakan oleh Tuhanku dan Tuhanmu
Lalu masihkan kau tidak bersyukur atas nikmat dan kesempatan
Dan mensyukuri sebuah keberuntungan

Subahanallah, kubiar mataku tertancap di dada langit
Alangkah indahnya purnama yang Kau kirim lewat serambiku ini
Cahayanya membias di antara lereng dan perbukitan
Menyulam di celah-celah pohon-pohon belantara
Sesekali kulihat kabus putih berarak menjadikan ciptaanMu begitu sempurna
Meninggalkan jejak sang bayang-bayang
Tanpa sedar aku sudah berlari di dada asfal
Membiar purnama menyimbah susuk tubuh yang pasti akan pulang ke halaman abadi
Dan aku pasti tidak lupa bercerita tentang rintik hujan yang indah itu
Derunya menggugurkan airmata mentamsilkan gendang si atap tua
Sekejap kuat dan sebentar perlahan menimbulkan keasyikan
Lalu bukit hijau yang selalu kurenung lewat jendela itu pun
Perlahan-lahan hilang ditelan kabus tebal yang berselirat seperti sutera
Bergumpal bersama awan-gemawan yang berarak agung
Alangkah halusnya ciptaanMu Ya Illahi

Begitulah yang sempat kuceritakan tentang indahnya daerah ini
Padahal dulu saat dikirim disini aku seolah menyalahkan takdir
Tapi rupanya Dia mengirim aku kemari
Kerana Dia tahu banyak cerita yang bisa kuhikayatkan
Dan benarlah bahawa cintaku telah mula berputik ranum
Mekar sepertu bunga-bunga hutan yang menyeri laman

"Terima kasih Ya Rabbi yang mengirim hamba di Pensiangan ini.."




Tentang Kami












Masa Yang Pergi Tak Akan Pernah Bisa Terganti


Masa bergulir bersama puing-puing waktu

Merembes antara cahaya kini dan masa silam

Tinggal kita terkaku menatap jejak-jejak kaki yang sudah jauh meninggalkan

Kenangan demi kenangan yang utuh mendewasakan

Kita semakin matang oleh usia dan kedewasaan.

Masihkah kalian ingat rumah buruk kita itu

Berdinding bambu beratap langit menceritakan kegetiran

Rumah yang kita bangun dengan kasih sayang dan kecintaan

Dari serambi yang hampir sujud ke bumi

Kita meneropong sebatang jalan tua melihat manusia lalu-lalang

Dan kekadang kita tertangkap tikaman penghinaan yang di lemparkan.


Atau kekadang dari jendela yang menghadap ke laman

Kita biar ia mendada terbuka luas menangkap angin panas

Sesekali burung-burung sesat mematikan lamun panjang

Dan kita berlari mengejar makhluk Tuhan yang cantik itu

Dan papa akan marah-marah kerana rumah kita condong dan bergoyang.


Masihkah kalian ingat dapur kayu kita yang berjelaga itu

Dapur kayu yang menghidupkan kita dari manusia kepada manusia sebenar

Di ruang itu aroma pucuk ubi kayu bukan suatu yang asing

Aroma kopi tenom yang mama pangang dan giling sendiri dengan kasihnya

Dan saat santap penuh redha bapa akan mengetuai bacaan doa.


Lalu masihkah kalian ingat apa yang kita perbuat selepas santap

Kita akan buru-buru duduk di keliling dua orang insan istimewa

Pada mereka kita tumpahkan kasih dan manja

Dan mereka akan mengulang cerita-cerita seperti semalam

Tentang cerita zaman perang yang ditempuh mereka

Tentang cerita hikayat raja miskin di buang di dinding angin

Ayam raja jawatan atau hikayat si anak-anak

Dan kita bersorak riang bertepuk tangan

Al-Fatihah buat Aki dan Odu kita yang telah pergi selamanya.


Sebatang sungai tenang yang mengalir dingin di belakang rumah

Di tepiannya tumbuh sepohon limau gajah dan jambu air berwarna merah

Di situlah tempat kita bersiram

Sambil menangkap anak-anak ikan yang berenang riang

Dan sampai suatu musim kita beramai-ramai mengharung sungai itu

Dengan tangguk dan jala mencari hadiah dari Tuhan

Buat santapan istimewa pabila malam menjelang.














Dan aku tidak akan lupa bercerita tentang permatang dan sawah

Yang kian tahun menghidupkan kita dari keringat dan jerih payah

Kita selusuri permatang panjang

Kekadang ulat gonggok menyapa bertanya kabar si petani muda

Dan berudu kecil comel bermain di antara jemari tak pernah kita rasa geli.

Aduhai alangkah pahitnya zaman itu

Alangkah peritnya menghayun tenggala

Dalam terik mentari kita gagahi juga menanam benih-benih hari esok

Kerana saat itu perjuangan kita baru sahaja bermula.

Aduhai kalian, masihkah teringat di kepala juga di minda

Pondok usang kita di tepian sawah yang papa bina tempat melepas lelah

Dari serambinya

Kita selalu menerobong petak bendang jiran yang menyubur harapan

Dan kita bandingkan dengan yang menjadi milik kita

Selalu kita tersenyum puas menanam keyakinan.


Dan saat satu-satu antara kita pergi meninggalkan kampung halaman

Mengejar cita-cita demi sebuah pembaharuan dan keberanian untuk hidup

Mereka tidak pernah meyakini kemampuan kita

Tetapi yakin itu tertanam dalam jiwa para pencari kejayaan

Yang tidak kenal putus asa tetap tegar melangkah

Meski zaman persekolahan di tempuh pahit

Kita telah menjadi kita yang selalu melangkah yakin dan berani.


Aduhai kalian

Waktu semalam yang menyakitkan itu

Tak akan pernah bisa terbeli dan terganti

Ia adalah kenangan yang akan kita seret menuju sebuah keabadian

Dan aku ingin menjadi si tukang pencerita

Yang akan selalu berhikayat tentang kisah kita

Aku ingin selalu berpesan-pesan

Agar kalian mengingati untuk sampai ke tahap sekarang

Kita telah melalui cerancang-cerancang tajam dan sembilu yang menyakitkan

Jesteru jika ada pun luka yang kita tempuhi diperjalanan sematang ini

Kembalilah mengingati ujian itu bukan apa-apa berbanding semalam.


Kalian

Kelmarin yang terhadiah itu sebenarnya adalah anugerah

Yang memanusiakan kita

Dan aku berbahagia menikmati detik itu bersama perajurit-perajurit berani

Hadir kalian tidak akan pernah bisa terganti

Meski Tangan Tuhan bakal memisahkan kita antara duniawi dan ukhrawi

Siapa pun yang pergi dan ditinggalkan

Semoga detik itu bisa kita lalui

Dan sesungguhnya yang tertinggal adalah kenangan sezaman.

Kalian ....... Aku Selalu Dan Terlalu Sayang.

06 April 2011

Menyatu Dengan Alam












Terabadi : JENTAYU PUTIH


Detik itu sengaja ku biar diriku menyatu denganmu alam

Lalu kau sambut jabat tanganku dengan kasih mesra

Dan kau belai jiwaku lewat panorama yang kau kirim ke pancaindera

Kita pun terus bercerita tentang kekasih dan hari-hari depan

Masihkah punya waktu buat kita berpimpin tangan melewati tembok batu itu.


Dan ketika aku ceritakan tentang segugus angan-angan,

Kau tersenyum lewat tiupan bayu yang kau hantar di sebalik pepohonan

Kau tahu hatiku lagi rawan hampir di mamah kecundang

Dan bisikmu aku harus bangun dari kamar nestapa

Seperti mu juga yang kekar berdiri di tengah ceracak pembangunan.


Meski ada duka di perjalanan ini

Meski dia mungkin tak mengerti apa-apa

Meski Jentayu Putih memilih sebuah bungkam panjang

Aku tetap bakal melangkah dengan yakin dan riang

Membelah awan kabut.


Aduhai,

Ternyata aku telah menemui diriku yang hilang

Dan sayap cintaku yang patah mengepak kembali

Semuanya terubat saat jiwa menyatu dengan alam.


14 October 2010

Cintaku Tertinggal Di Pedalaman


Dari sisi jendela yang ku biar mendada menangkap gerimis senja
Dan berarak sepotong awan duka yang pingin bercerita
Tentang rintik-rintik hujan yang ligat berdansa
Bunyi telapak kaki si pejalan kaki
Yang mengheret kantung puisinya untuk di sebar kepada alam
Dengarkan cerita cintaku yang tertinggal di pedalaman.

Dan cahaya sang rembulan pun bersilang di sebalik pepohonan
Berdesir bayu berpuput rindu menikam setangkai kalbu
Mengapa tidak jika cinta itu bertamu di taman larangan
Salam terhulur yang mana mungkin bisa di sambut
Kerana jemari ini terikat sebentuk cincin bersulam permata
Dan inai di jari masih lagi memerah.

Lalu ketika gugurnya daun-daun kering di atas asfal berturap
Puisi cinta ini semakin sedih menceritakan dukanya
Sosok terang dalam kegelapan yang melambai meminta ia datang
Meluru laju dalam pelukan
Suara manja di bungkus madah yang meminta bahagian dari cinta
Lirik mata yang sesekali sesal dan kesal terlewat mampir
Airmata pun mengalir menceritakan kepiluan.

Sebelum malam,
Betapa pun diri ini terpikat oleh sosok terang dalam kegelapan
Yang mengindahkan pancaindera dan rekuh rasa
Meski mungkin pernah ada terdetik nyali rindu kerana aku manusia biasa
Mana mungkin aku meminta penyatuan dari Tuhan
Kerana ia sekadar insan yang diciptakan sesempurna mungkin
sebagai perantara sebuah kemelut ujian.

Sesudah malam,
Aku kembali berpesan-pesan lewat puisi
Hati mungkin bisa jatuh cinta tapi bukan bermaksud harus memiliki
Justeru, ku tinggalkan cintaku yang terbenih ini di pedalaman
Biar dibungkus embun lalu bergumpal menjadi sepotong awan terbang
dan gugur menjadi rintik hujan yang berdansa riang.


15 June 2010

KeRnA aKu BuKaN mAlaIkAt...


Kerna Aku Bukan Malaikat

Saat dia diijabkabulkan aku berada jauh di sebuah dermaga bisu. Melangkah Dalam Sebuah Pelarian Yang Aku Sendiri Kebingungan Mengapa Harus Kuseret Langkah Kaki Ini. Saat Palu Kompang Dan Rerumput Pun Ikut Bertasbih, Kerana Cintanya Telah Terjawab, Aku Sekadar Membatukan Diri Melihat Pelangi Petang Yang Bersilang. Dan Aku Pun Kian Jauh Melangkah Tanpa Mau Perduli Apa Yang Terjadi Dengan Mereka.

Maya, Kejamkah Aku Kalau Begitu? Saat Dia DiSandingkan Aku Memandang Sebuah Tembok Keangkuhan Yang Tidak Mampu Aku Pecahkan. Aku Biarkan Diri Ini Dijujani Kata-Kata Nista Oleh Mereka Yang Merakam Kebiadapanku Kerana Mengabaikan Sebuah Majlis Gemilang. Biarkan, Aku Sudah Tidak Mahu Perduli Dengan Bicara Orang. Kerana Mereka Tidak Pernah Tahu Dan Tidak Pernah Bertanya Apa Yang Terjadi Di Antara Kita.

Dan Kau Sendiri Pernahkah Kau Semuka Denganku Untuk Meminta Maaf Atas Keterlanjuran Kata. Atau Barangkali Kau Masih Mahu Menjadi Juri Lalu Menghakimi Sesungguhnya Dalam Kelahiran Ini Aku Memang Bersalah. Lalu Ketidakwujudku Di Majlismu, Adakah Kau Sedari Atau Memang Kau Juga Tidak Pernah Mau Peduli.

Sayang, Maaf Aku lebih Senang Sendiri.. Dan Jika Kau Mengatakan Aku Keterlaluan Katakan Saja Kerna Aku Memang Bukan Malaikat Yang Besifat Putih. Semoga Kau Berbahagia Dan Semoga Kau Akan Merasa Kesedihan Yang Kau Tinggalkan Dihatiku Ini. Kalau Bukan Sekarang , Mungkin Esok Atau Lusa. Semoga Kau Akan Menikmatinya.


13 May 2010

Sumpitt Sauber







Hujan petang di Sepanggar. Sejuk dan dingin menikam sukma. Kuseret langkah kaki menuju jendela yang sengaja kubiar terbuka bebas membolosi maya. Kenangan tanpa dipinta itu pun bertandang hingga membuat aku terkenang seorang sahabat jauh yang tidak pernah kujumpa tapi akrab di telinga. Lalu ingatan dan kerinduan itu pun berkumpul menjadi satu hingga kalbu menjadi sedingin salju. Lagu-lagu puitis nyanyian Ebit G Ade kubiar berkumadang berlawan dengan rintik air hujan yang semakin ligat berdansa dibumi gersang. Lagu untuk semua nama mengingatkan aku padamu duhai teman..

Pitt, masihkah kau ingat satu zaman yang lama dulu ketika aku meminta sebahagian daripada hidupmu. Ketika aku cuma tahu menangis tanpa mahu mendengar penjelasanmu.. Masihkah kau ingat saat kau memujuk aku dengan suara lembutmu itu. Lalu lagu untuk sebuah nama kau dendangkan ditelingaku.

Pitt, aku masih ingat semua cerita yang pernah kau ceritakan. Aku masih ingat tika kau mengatakan harapan dan hidupmu sudah hancur dibawa pergi oleh sepotong awan duka yang berarak kejam. Dan kau mengatakan rindumu semakin jauh, lalu kau tangkap rindu itu, kau kunci dalam poket perasaan untuk mematikan harapan. Sungguh aku masih ingat semua itu.

Pitt, ternyata hatimu terlalu teguh untuk yang satu. Dan akhirnya aku beralah daripada memaksamu memberikan hidupmu untukku. Aku tinggalkan semua angan-angan untuk membina istana meski cuma istana pasir. Kulontar semua harapan meski saat itu aku tidak pernah berhenti berharap. Akhirnya, aku mengerti juga cinta tidak bererti kita akan memiliki. Dan aku terus menukar tiupan angin hingga akhirnya ia membawa aku kepada insan lain yang akhirnya kupilih dia sebagai yang teristemewa.

pitt, kata orang bila kita mencintai seseorang, dan perasaan kita dilukai nescaya rasa kasih itu tidak bisa ditukar dengan rasa persahabatan. Sungguh kata-kata itu tidak benar. Aku bisa mengubah rekuh rasa ku terhadapmu dan hingga kini kita masih bersahabat. Bahkan barangkali sahabat yang akrab.

pitt, sudah terlalu jauh kau membawa dirimu pergi dari pelabuhan yang asal. Sudah terlalu lama kau mengheret langkahmu mengembara. Maafkan saja dia meski dia tidak pernah mengakui salahnya. Usah memenjara dirimu dalam sebuah lorong gelap kerana nanti kau akan bertambah sesat. Bukakan hatimu untuk kebahagiaan kerana aku percaya masih ada bahagia buatmu di sana.

pitt, kau mahu kau tahu, aku tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan buatmu. Semoga bahagia selalu.

(Lagu untuk sebuah nama- yg pernah kau dendangkan buatku di suatu senjakala)

Mengapa jiwaku mesti bergetar
sedang musik pun manis kudengar
mungkin kerna kulihat lagi lentik bulu matamu
bibirmu, dan rambutmu yang kau biarkan
jatuh bergerai dikeningmu
makin mengajak ku terpanah
kau goreskan gita cinta..

Mengapa aku mesti duduk disini
sedang kau tepat didepanku
mestinya kuberdiri berjalan kedepanmu
kusapa dan kunikmati wajahmu
atau kuisyaratkan cinta
tapi semua tak kulakukan
kata orang cinta mesti berkorban.

mengapa dadaku mesti bergoncang
bila kusebutkan namamu
sedang kau diciptakan bukanlah untuk ku
itu pasti tapi aku tak mau perduli
sebab cinta bukan mesti bersatu
ku cumbui bayanganmu
dan ku sandarkan harapanku..

(Z_lan )