19 March 2010

Puisi Buatmu Guru

Catatan Buat Pendidik
Telah kian tahun kau mewasiatkan ilmu tulis baca
Menyampaikan kisah demi kisah insan-insan yang Berjaya
Manusia-manusia yang tersesat dalam pencarian di kota ilmu
Kau ceritakan semua dalam lembut dan berhemah
Demi menyuburkan semangat anak bangsa
Menggembling usaha memburu cita-cita.

Sesekali barangkali kau merasa lelah pada perjuangan yang sia-sia
Anak bangsa yang kau didik memilih perjalanan yang sulit
Kecewa dan bersalah pun merantai sukma
Hingga kau merasa terseksa dan meronta
Namun renungkan sudah berapa ramai terlahirnya cendikia
Dari sentuhanmu yang keramat itu.

Kalau saja tiba-tiba kau merasa terlalu penat berhujah
Dan mereka seperti tidak mengerti apa-apa
Usah mengalah pada ragam yang tidak mampu kau tafsir maknanya
Fikirkan sudah berapa ramai ahli debat di dewan kehakiman
terlahir dari seorang insan yang mendidik penuh ketabahan
fikirkan sesuatu yang membersit roh kebanggaan.

Kalau saja pula tiba-tiba kau terlontar jauh di pedalaman
Terasing dari kota yang gemerlapan hiburan
Terputus kabar berita dari kekasih mahupun suami tersayang
Lalu rindu pun memanggilmu pulang jauh di tanah kelahiran
Apakah kau akan berpaling dari perjuangan
Berlari dan terus berlari meninggalkan suara-suara pedalaman
Atau akan tegar kau melangkah menyahut seruan.

Kalau sahaja pedalaman memanggilmu,
Pergilah dengan rela dan bukan terpaksa
Kerana anak-anak itu rindu pelukan guru mereka
Di dada mereka penuh cita-cita menakluk dunia
Maka engkaulah perintis jalan itu buat mereka
Dengan keyakinan mu belantara di pedalaman itu akan bercahaya.

Untukmu guru,
Selamat membina keyakinan demi mendidik anak bangsa
Pengorbananmu tidak akan sia-sia
Sehabis hayat di dunia,
Gelaran itu kau kuusung ke pusara.Terima kasih guru,
Terima kasih untuk segalanya.

16 March 2010

Sebuah Catatan Buat Dia : Semoga Bisa Mengerti


Dalam hidup ini kita pernah dirundung malang. Pernah menangis dan kecewa mendepani sesuatu hakikat yang paling menyakitkan. Lalu Ketika semua itu bertandang apakah yang paling kita perlukan? Yaa, semangat untuk kembali berjuang itu penawar yang menyuntik semula kekuatan. Dalam hidup ini sesunggunya, aku sudah banyak kali merasai kekecewaan dan getirnya ujian. Aku pernah terlahir dalam kancah kemiskinan dan ketika itu tiada siapa pun yang ingin bersahabat dengan kami. Lalu kami pun menjadi anak petani yang tegar mendepani sawah dan lumpur pekat dan baham mentari terik. Namun akhirnya kami bisa berjaya bahkan di kampung itu kamilah yang paling berjaya dalam kancah pendidikan. Tetapi semakin kita dewasa, semakin kita berjaya membina empayar intelek, sesungguhnya ujian tidak pernah mahu berhenti menguji. Seperti yang kukatakan aku pernah diuji kemiskinan, pernah juga diuji cinta, pernah diuji minda. Aku masih ingat satu saat ketika keputusan SPM diumumkan aku menjadi pelajar terbaik sekolah. Sayangnya aku tercicir satu bahagian dari perjalanan ke Kota Ilmu. Aku Kecewa, namun Tuhan ternyata ada hadiah lain buatku. Ketika Sudah berumah tangga dan berkerjaya aku pernah terfikir untuk berhenti kerja atas sebab-sebab yang tidak bisa aku jelaskan. Sayangnya ketika aku benar-benar letih, putus asa, hilang semangat dan berduka ujian berat pula muncul. "Seperti kata seoarang ayah kepadaku:
_NAK NAN, UJIAN TIDAK PERNAH SELESAI, IA AKAN DATANG BERTANDANG MESKI PADA WAKTU YANG SAMA KITA SEDANG BERJUANG_ ayah Ha@Hasyuda Abadi
Omah, Kalau kau membaca ruangan ini, maafkan aku. Aku tidak bermaksud melukai hatimu.
Ketika kau mendengar kabar aku ingin berhenti kerja, kau menghubungiku...
Sesungguhnya kata-katamu itu tidak benar Omah. Aku tidak pernah berubah walau seinci pun. Aku masih mencintai dan menyayangi pakcikmu sama seperti dulu bahkan bertambah mendalam. Apakah yang kau fikirkan saat kau mengatakan begitu? Omah Sayang, Kadang-kadang dalam hidup ini ada sesuatu perkara atau cerita rumah tangga yang tidak dapat kita terangkan pada orang lain. Lantas apabila ia tidak mampu kita terangkan penerimaan orang akan berbeza. Jujurnya aku bahagia mendampingi pakcikmu meski kata-katamu tentang keikhlasan ku kau pertikai.
Omah Sayang,
Katamu bukan begini caranya untuk aku masuk dalam keluarga kalian. Sekiranya aku tersalah adat ketika mengetuk pintu kalian maafkan aku si pengembara ini. Lalu jika benarlah juga bukan begini caranya, aku mohon bimbinglah aku semoga sahaja aku bisa belajar cepat tentang hukum dan adat. Aku tahu kau merasakan aku pelik, berbelit-belit dan puitis. Maafkan aku Omah, inilah duniaku yang sesungguhnya. Aku dibentuk menjadi pemuisi jesteru aku tahu kalian tidak bisa memahami .
Omah Sayang, berminggu hatiku retak melihat cintaku yang terus dipertikai. Dan pada ketika itu juga berita pertunanganmu muncul ditelingaku. Kupanjatkan doa semoga dirimu bahagia selamanya di samping yang tersayang. Semoga apa yang aku rasakan, tidak terjadi pada hidupmu kerana sesungguhnya begitu sakit apabila cinta kita pada yang terkasih dipertikai. Semoga juga kau akan sukses ketika mengetuk pintu adat bakal suamimu. Semoga kau akan diterima sebagai menantu pilihan dan kekal berbahagia.
Omah Sayang, Semoga kau akan mengerti bahawa sesungguhnya obor cintaku pada pakcikmu tidak pernah padam. Semoga kau akan mengerti satu waktu kelak bahawa sesungguhnya rumahtangga itu terdapat pelbagai ragamnya.
Omah Sayang, Maafkan aku, Bu Pidahmu andai kau terluka lagi membaca coretan ini. Sesungguhnya, aku tidak pernah marah padamu, kerana aku tahu ini semua hanya ujian dari ilahi untuk menguji rumah tanggaku dan kau pula sekadar perantaranya. Ketahuilah, aku selalu ingat dan sayang padamu. Semoga kau akan berbahagia.

Sepulut Nabawan Pensiangan Yang Saya Kenali

Inilah Sebahagian Daripada Tuhau Yang Kami Dapat..
Kami Berehat Di Tepi Jalan Setelah Keletihan Mencari Tuhau.

Mencari Tuhau Dengan Rakan-Rakan


Ini Adalah Pengkalan Salong Menuju Ke Pegalungan/ Pensiangan/ Kalimantan Indonesi



Inilah Buah Tikaloh Yang Saya Maksudkan : Kak Ani Kawan Saya Seorang Raja Tikaloh




Pemandangan Kampung Salarom Dari Udara : Pernah DiNobatkan Sebagai Kg Tercantik Di Sabah Dan Kebangsaan (Salarom Lama)





Ini Adalah Telaga Garam Yang Terdapat Di Kg. Salarom.











































Masuk Ke Negeri Asing

Tanggal 4.11.2008, Saya Melapor Diri Bertugas Di Smk Sepulut Nabawan Pensiangan Sebagai Penyelia Asrama. Perasaan Saya Ketika Itu Bercampur Baur. Tidak Pernah Terbayang Diminda Saya Akan Dihantar Bertugas Di Daerah Pedalaman. Jarak Sepulut Dari Kota-Kinabalu adalah 230KM. Dari Keningau Saya Singgah Sebentar Di Pekan Sook Sebelum Meneruskan Perjalanan Ke Daerah Nabawan. Sesungguhnya Saya Tergamam Melihat Lanskap Pekan Nabawan Yang Saya Kira Masih Jauh Ketinggalan Dengan Daerah-Daerah Lain Di Sabah. Pekan Nabawan Hanya Mempunyai Beberapa Baris Kedai Dan Tidak Mempunyai Perkhidmatan Perbankan.
Sepanjang Perjalanan Ke Sepulut Saya Hanya Melihat Kuburan di Sepanjang Jalan Atau Di Halaman Rumah. Tanaman Padi Huma Berbalam-balam di Perbukitan. Segar Dan Hijau Pemandangannya. Namun Sayang Bekalan Elektrik, Air Dan Telefon Belum Sampai Di Sepulut. Minggu-Minggu Awal Jujurnya Begitu Sukar Untuk Saya Menyesuaikan Diri.

Berada Di Sini, Saya Telah DiAjar Banyak Perkara Oleh Orang Kampung. Saya DiAjar Berjalan Kaki Membelah Hutan Semata-Mata Untuk Menjala Ikan Dan Mencari Paku Pakis. Antara Ikan Yang Terkenal Disini Adalah Ikan Salarong, Betutu,Salap Dan Pelian. Saya Juga Diajar Memakan Sejenis Buah Masam Yang Dipanggil Tikaloh. Tikaloh ini Sedap Jika Dimakan Dengan Perencah Maggie Kari. Buah Bubuntung Yang Kelihatan Seperti Buah Belimbing Besi Tetapi Berwarna Merah Juga Sedap Dimakan. Dari segi Fahaman Dan Adat Saya Juga Di Ajar Satu Mantera Untuk Memanggil Hujan Turun."Bubuluyut Sukabo Batu Punggul" Namun Saya Belum Pernah Mempraktikkan Mantera Tersebut.

Antara Kampung Yang Pernah Saya Kunjungi di Mukim Sepulut Ialah: Kg. Tataluan Yang Begitu Terkenal Dengan Lagenda Batu Punggul. Jika Berpeluang, Datanglah Ke Kampung Ini Dan Selami Keunikan Batu Punggul. Salah Seorang Pengusaha Pusat Peranginan Batu Punggul, En Lantir Bakayas Sentiasa Siap Siaga Membawa Pelancong Meneroka Sejarah Kampungnya. Selain Itu Saya Juga Sudah Sampai Di Kampung Salarom. Jika Anda Seorang Yang Peka, Kampung Salarom Pernah Dinobatkan Sebagai Kg. Tercantik di Sabah Dan Juga Kebangsaan. Kampung Ini Juga Pernah Diabadikan Oleh Seorang Penulis Terkenal En Emin Madi Dalam Novelnya Berjudul Salarom. Siapa Sangka Di Tengah-Tengah Belantara Sebegini, Lahir Anak Murut Yang Cemerlang Dalam Pendidikan. Di Ruangan Ini Saya Ingin Merakamkan Rasa Bangga Kepada En. Sangkar Rasam Anak Jati Salarom Yang Baru Sahaja Menerima PHDnya. Tahniah..

Secara Ringkas Saya Sebutkan Kampung-Kampung Lain Yang Telah Saya Kunjungi iaitu Kg. Labang, Kg. Kainggalan, Kg. Tonomon, Kg Simotuoh Dan Kg Bigor.

Tahukah Anda Sepulut Memiliki Penyanyi-Penyanyi Terkenal. Antaranya Kumpulan Sinsingon Power Yang Tinggal Di Kampung Sinsingon. Kumpulan Ini Di anggotai Oleh Ahli-Ahli Keluarga Mereka Sendiri Seperti En. Marais Palanduk, Molly Sikin Dan Anak Mereka Joshua Marais
.(Sekadar Menyebut Beberapa Nama)

Jika Anda Ke Kampung Padang, Anda Akan Melalui Jambatan Gantung Yang Merentasi Sungai Dan Sawah Padi. Saya Pernah Tergelincir Di Jambatan Tersebut Kerana Terlalu Teruja. Dari Sudut Sejarahnya Pula, Ramai Yang Mengatakan Pada Saya, Bahawa Satu Masa Dulu Kawasan Sawah Padi Tersebut Adalah Landasan Kapal Terbang. Ini Kerana Pada Masa Itu, Belum Terdapat Jalan Raya Yang Menghubungkan Sepulut-Keningau. Seorang Tukang Kebun Yang Saya Panggil Dengan Panggilan Aman Tumin, Menceritakan Dia Sempat Menggunakan Perkhidmatan Tersebut Dengan Dikenakan Tambang Yang Agak Murah.

Ketika Menuju Pensiangan, Saya Menggunakan Laluan Salong. Di Tengah-Tengah Belantara Tersebut Saya Begitu Takjub Melihat Sebuah Villa Yang Tersergam Indah. Jika Dilihat, Ramai Yang Percaya Ia Adalah Sebuah Resort Lebih-Lebih Lagi Dengan Saiznya Yang Besar Dan Seni Bina Eropah Yang Unik. Saya Dimaklumkan Itu Adalah Kediaman Doktor Richard Gunting Anak Watan Sepulut. Wah, Rupanya Banyak Keajaiban di Tengah-Tengah Kota Hijau Ini.

Esok, Saya Tidak Pasti Akan Kemana. Memukat Ikan? Memasang Rawai? Mengutip Hasil Hutan? Berburu? Menjadi Anak Rimba? Atau Apa.. Saya Tidak Pasti. Yang Nyata Setiap Perjalanan Itu Kelak Akan Saya Kongsikan Pada Anda.

Segalanya Pulang Kepada Air Mata

Terkasih buat Allahyarham Kanda Asim Bin Kadar Yang Pulang Ke Tempat Asal pada 6.Disember.2009 Ahad Jam 1.30PM Hospital Papar)- Dia datang ke papar dengan ketawa tapi pulang dengan airmata)

Lembut angin sepoi berhembus
Mengiringi kepulanganmu kepada yang Teragung
Meninggalkan kami yang tergumam menahan sedih
Tiba-tiba masa sihatmu diragut pergi
Sedang baru sebentar tadi kau menghadiahkan segaris senyum.

Berita kepulanganmu yang mendadak itu
Membuat kami keliru, lidah pun menjadi kelu
Airmata tidak bisa menggambarkan kesedihan
Seperti tidak percaya inilah harinya
Kerana baru sebentar tadi kau berketawa.

Dan kami pun dipaksa melewati detik-detik yang sukar
Kau wira yang selalu memahkotakan kebahagiaan
Kau insan istemewa yang selau pasrah pada ketentuan
Meski nurani disakiti kau tegar menghadapi
Kejayaanmu membina empayar membuat kami bangga
Sayang hanya sebentar Cuma kau menikmatinya.

Lalu apalah yang tinggal lagi pada kami
Selain potret dan kenangan
Indah saat bercerita denganmu tentang masa muda
Tentang pohon bakau,air laut dan kampung kita
Sungguh sehabis hayat tak akan kami lupa.

Ya Tuhan yang mengambil dia pulang
Jadikan kami tabah menghadapi kehilangan
Tempatkan dia di sisi yang beriman
semoga tenang dia di pengabadiandan kami akan sentiasa merindukan


*****************************************************************************************************************
-Untuk Suamiku Yang Ditinggalkan abangnya
-Untuk Kakak Iparku (Mary) Yang ditinggalkan Suaminya
-Untuk Anak-Anak Buahku (Lina, BB,GG,JJ) Yang ditinggalkan Dady Mereka
-Untuk Danish Mikhail Fung Yang Ditinggalkan Datuknya
-Untuk Kita Semua Yang Ditinggalkan Semoga Redha Dan Tabah.

Selamat Ulang Tahun Sayang

Tinggal seminggu lagi ulang tahun perkahwinanku yang pertama akan muncu. Dalam debar aku menanti detik keramat itu,lebih-lebih lagi majlis perkahwinanku setahun yang lalu hancur akibat banjir. Dalam diam aku mula merencana parti suprise buat suamiku. Aku hubungi anak-anak buahku Lina, JJ,GG,BB dan tidak lupa kakak iparku Mary. Aku meminta bantuan mereka untuk menjayakan parti suprise tersebut. Petang Jumaat aku bertolak dari tempat kerja di SMK Sepulut menuju Kota-Kinabalu. Tiba di pekan Keningau, sahabatku Vikma Bubuyan menemaniku ke kedai motor. Maafkan aku sayang kerana hanya mampu memberikanmu topi keledar. HeHeHe, lagipun kulihat topi keledarmu sudah usang. Setelah membayar harga, aku buru-buru membeli tiket bas untuk pulang ke rumah. Sesungguhnya dalam perjalanan aku tidak sabar menemui suamiku. Aku mungkin memang gila kerana merancang kejutan ini. Aku juga tahu pasti suamiku bingung mengapa aku tinggalkan kad ATMku padanya dan menyuruh dia mengeluarkan sejumlah wang untuk diserahkan pada Lina. Bila dia bertanya aku jawab, "sayang mau cantik bah macam Lina, so sayang pun mau pakai prodak Dubai macam yang Lina pakai" Dia berleter sedangkan aku separuh mati menahan ketawa.

Sekitar jam 8 malam, Kakak iparku pura-pura menelefon suamiku dan meminta dia datang ke rumah mereka di Taman Permai atas sesuatu hal yang penting. Apalagi suamiku pun terbingung dengan panggilan telefon yang mendadak itu. Dalam perjalanan aku singgah di Indah Permai membeli KFC. Kakakku Khatijah yang kuajak sama, tersenyum-senyum di belakang.

Ketika kami sampai, Lina sudah pun menyiapkan kek yang ku minta. Dengan wajah serius suamiku bertanya pada Lina,"mana tu ubat muka dari Dubai, ada sudahkah?" Kemudian Lina berkata," Tu ubatnya" Dia menunding jari pada kek yang kelihatan sedap di atas meja. Sesungguhnya parti suprise itu indah sekali. Oh ya, aku lupa menceritakan tentang topi keleder tersebut. Aku tidak sempat pun untuk membalutnya. Jadi sebelum dia tidur aku masukkan topi tersebut di dalam selimut. HeHeHee, akulah perempuan yang paling gila.. Tapi anehnya aku lihat dia tidak ketawa atau senyum. Aku lihat ada air mata yang mengalir. Kenapa sayang? Kenapa harus menangis untuk hari yang bahagia ini.. Emmm, aku ada satu lagi kejutan, aku mahu ajak dia makan malam di Peramonade Hotel malam ini.. Indah sekali bukan?

Untuk anak-anak buahku yang kukira paling rapat denganku : BB@Nazrul,GG@Hanafiah,JJ@Syamir & Lina terima kasih. Babu selalu sayang kamu semua.

Untuk Suamiku: Jerry Hiskandar@Manaf Bin Kadar,
Salam ulangtahun Sayang. Semoga Kita Akan Lebih Menghargai Hari Ini Sebagai Bekalan Di Hari Esok. Ketahuilah Aku Mungkin Bukan Isteri Yang Sempurna, Tapi Satu Yang Sempurna Dalam Diriku Adalah Cinta ini Memang Terutus Buatmu.

selamat menikmati segaris senyum sejuta luka




Maya lihatlah kedukaan yang terutus buatku ini
Ku kisahkan padamu semoga kau mengerti
Perjalanan di ambang bahagia itu ternyata sulit
Mimpi ngeri yang merasuk sukma dan batinku
Terkesima aku memandang kenyataan yang menyakitkan.

Akan mengertikah kau maya duka yang bercempara ini
Saat ijab hampir-hampir melestarikan impianku
Sang bumi tiba-tiba menghantar tenteranya
Lalu menggilis pelamin anganku yang bertahun kuimpikan puncaknya
Dia membawa bersama lumpur pekat, bah dan air tanah
Merebus singgahsana yang kutenun dengan kasih dan cinta.

Tidak cukupkah lagi aku teraniaya
Saat yang seharusnya aku berbahagia
Sang bumi meruntuhkan segunung tanah merah
Jalan ke rumah raja sehari pun terputus sudah
Aku menjadi sepotong jasad yang bernyawa tapi tak berdaya
Airmata tidak bisa mengubah apa-apa.

Lalu ketika aku sudah benar-benar pasrah dan redha
Rupanya jiwa masih terduga
Saat disandingkan dalam terpaksa
Aku tersedu dibahtera itu sendiri sku tanpa siapa-siapa
Pengantin yang bermuram untuk apa disandingkan.

Maya apa salahku ini maya hingga terhukum begini
Pelamin anganku musnah bisakah kau mengerti
Atau kau akan sekadar berkata aku sekadar pendengar Cuma.
Rintihan Orang Berduka

Pelamin Anganku Musnah

Dalam hidup ini sesungguhnya terlalu banyak tabir rahsia yang kekadang terlalu lama kita ketemukan jawabannya. Sering kita bertanya pada diri, pada angin lalu yang berhembus atau pada rembulan di puncak cakerawala persoalan demi persoalan. Aku pernah bertanya pada suatu senja di pelabuhan, bilakah gerangan aku akan jatuh cinta. Bilakah detiknya seru jodohku akan menghampir mengetuk pintu hati yang telah bertahun kesepian. Pencarian demi pencarian kulewati dari satu persimpangan ke satu persimpangan lain.Berbagai wajah yang kutemui, kukenal ragam dan tingkahnya namun sia-sia semua pertemuan itu hanya sekadar di pinggiran. Hinggalah akhirnya aku menemui cintaku dalam cara yang paling manis.
Dia yang kukenal sesungguhnya 14 tahun lebih dewasa dariku. Dia yang kukenal sesungguhnya 14 tahun lebih awal dilahirkan daripadaku. Hanya kerana sebuah karyaku yang terbit di akhbar tempatan maka ikatan demi ikatan pun bermula. Dari biodata yang kulampirkan di sisi karya ternyata rupanya ia adalah tali jodoh buatku. Dia menjejakiku melalui alamat yang kulampirkan merentasi puncak kimanis yang begitu mengujakan. Ternyata kami berkongsi hari lahir Cuma tahunnya sahaja yang berbeza. Pertemuan pertama itu seterusnya membuahkan pertemuan kedua dan akhirnya kami sepakat untuk mengikat tali pertunangan. Tanggal 31. Mei. 2008 mentari pun tersenyum riang saat cincin pertunangan tersemat di jari.
Sesungguhnya aku pernah ada impian manis untuk menjadi puteri yang berbahagia di atas singgahsananya saat disatukan dengan putera pilihan hati. Aku pernah memiliki sebuah angan-angan indah untuk disandingkan di atas pelamin yang cantik dan menarik. Aku pingin duduk anggun dan santun mendengar palu kompang. Aku ingin majlis perkahwinanku meriah walau sederhana. Untuk itu, bukan saja aku malah seluruh jurai keluarga berusaha melakukan yang terbaik memandangkan inilah perkahwinan pertama dalam keluarga. Seminggu sebelum majlis gemilang itu berlangsung, kelihatan langit cerah, awan berarak tanpa membawa kabar musibah dan angin berhembus seperti tiada menyimpan apa-apa rahsia.
Sehari sebelum majlis pernikahanku, hujan turun tanpa diduga. Lebat, deras dan tanpa henti hingga mengundang amukan sungai Padas. Bermulalah hari pertarunganku dengan alam. Hujan tetap lebat dan lebat hingga secara mendadak air sungai padas mencapai tahap bahaya. Tuhan hentikanlah hujan ini dan berikanlah aku satu keajaiban kerana esok adalah hari pernikahanku. Doaku tidak pernah putus malam itu dan rintik hujan tetap kuat mengeluarkan air matanya.
14.mac 2009, akhirnya detik itu muncul juga. Detik pernikahan yang sudah sekian tahun kunanti kehadirannya. Tepat jam 2 petang tok kadi yang akan menikahkan aku dengan bakal suami tidak juga muncul. Rupanya jalan perhubungan ke pekan Tenom telah benar-benar terputus gara-gara banjir. Lalu, tok kadi tersebut terpaksa dijemput menggunakan bot. Ketika tok kadi sampai, bajunya lencun dengan air banjir dan manik-manik peluh di dahi. Hanya tuhan saja yang tahu perasaanku ketika itu. Kak Long ku dari Tambunan, Abang Long dari Tawau dan Abang Ngah di Kota- Kinabalu tidak juga muncul-muncul. Aku ingin benar menangis saat itu. Namun entah mengapa hanya duka bercempara tanpa air mata.
Selesai diijabkabulkan aku segera menukar baju dan memujuk suami yang baru beberapa minit menikahiku agar membawa aku melihat air banjir. Aku sekadar ingin melihat sejauh mana Sungai padas menghantar kesedihan itu kepadaku. Kami pun melalui jalan-jalan kampung yang sepi dan sunyi. Ketika sampai di jalan batu 2 perjalanan tersekat dek air bah yang mengalir deras. Seperti sebuah perarakan berpuluh-puluh buah kereta terasdai di tepi jalan dengan wajah yang lainnya muram. Aku tahu di hujung air bah itu berdirinya tiga orang saudara kandungku dengan mata beku memandang sebuah bencana yang tak diduga. Kami tidak dapat berdakapan sekadar masing-masing menggeleng kepala.
Aku tidak memaksa tiga orang saudaraku itu untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampung. Aku tidak marah bila melihat mereka berpatah menuju kembali Ke Pekan Tenom. Mereka sempat menghantar sms, malam ini mereka menginap di hotel perkasa. Insyallah, bila air surut besok mereka akan segera pulang melihat persandinganku. Namun aku menerima lagi sebuah berita malang pekan Tenom dinaiki air hingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan Hotel Perkasa tempat saudara-saudara kandungku menginap. Akhirnya mereka mengambil keputusan meninggalkan pekan Tenom menuju Kota Kinabalu kerana sepertinya sudah tidak ada lagi tempat yang selamat di daerah ini.
Aku pulang ke rumah dengan rasa sesak dan terseksa. Beberapa minit setibanya di rumah, berlaku pula tanah runtuh di jalan batu 6 hingga menyebabkan jalan raya terputus. Aku tetap ingin melihat di depan mata sendiri kejadian demi kejadian itu. Suami yang begitu taat membawa aku melihat alam yang memberontak. Ya Allah ujian apakah lagi yang kau kirim ini. Aku mohon Ya Allah apa pun ujian yang Engkau berikan sertakanlah dengan ketabahan agar aku kuat menghadapi semuanya. Tanah runtuh di depan mataku ini kelihatan seperti sebuah rumah banglo dua tingkat yang begitu perkasa betul-betul di tengah jalan raya. Kata beberapa orang, untuk mengalihkan tanah sebesar ini memakan masa berhari-hari. Lalu terputuslah hubungan penduduk Kg Saga dan sekitarnya dengan Pekan Tenom.
Lebih memburukkkan keadaan, bekalan elektrik dan telefon terputus. Air banjir semakin deras mengalir. Malam berzanzi kunantikan majlis itu dengan penuh debar dan harapan. Lapan malam berlalu namun tiada seorang pun yang hadir untuk majlis itu. Aku maklum mereka masing-masing menyelamatkan diri. Akhirnya jam 9.30 malam dari jauh kulihat suluhan pelita. Beberapa orang kampung datang dengan memakai baju hujan dan berakit. “Kita teruskan saja majlisnya dik” Kata abang Aslam Bujing yang sudah kuanggap seperti abang kandungku sendiri. Kerana bekalan elektrik terputus, maka majlis itu berlangsung dengan cahaya lilin.
Belum pun selesai majlis, tiba-tiba kawasan rumahku yang boleh dikatakan tinggi dinaiki air. Suara orang berteriakan menyelamatkan diri tanpa mempedulikan lagi sepasang mempelai di atas singgahsana. Air berwarna coklat naik dan terus naik hingga pelaminku direbus bersama hatiku yang nanar. Hancur semuanya. Bunga-bunga telurku hanyut dan bersangkutan di atas kayu-kayu balak yang melintasi halaman. Luluh hatiku melihat papa dan mama yang berendam dengan air banjir semata- mata untuk menyelamatkan barang – barang dari hanyut. Aku tetap tidak menangis kerana sepertinya kecewa yang terlalu dalam ini menenggelamkan tangisanku.
Aku pernah berangan-angan untuk dipasangkan inai di jari dan di lumur bedak pada seluruh badan. Namun semua itu tidak kunikmati seperti pengantin lain. Tepat jam 12 malam ketika aku pura-pura lena, suami membangunkan tidurku.
“Yang, mari kita berinai” Aku bangun dan suamiku yang terkkasih itu memakaikan inai dijari ini. Kami berinai untuk diri sendiri berteman lilin. Hinggalah seorang tua bernama Mak Yam melihat kami dia pun menangis dan membetulkan inai-inai yang tidak begitu cantik kedudukannya. Anak-anak buahku Gg, Doremon dan Kimi hingga subuh menemani kami. Terima kasih, kalian adalah anak-anak yang baik.
15. mac hari persandinganku muram. Pelamin yang kelihatan comot akibat direbus air banjir dipasang juga. Aku bersanding dengan disaksikan tidak sampai 2o orang. Lauk pauk yang lebih dihantar ke pusat pemindahan. Kek kahwin yang kutempah tidak dapat diambil kerana terputus perhubungan dengan pekan Tenom.Begitu tragisnya perkahwinanku hingga ke saat ini pun aku masih merasai sakitnya. Tapi aku yakin setiap yang berlaju ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji umatnya melebih dari tahap kemampuan mereka. Aku yakin dengan itu.
Setelah air surut, kami menghabiskan sisa cuti di Ranau. Tiba-tiba ada panggilan telefon yang meminta kami segera pulang ke Kota- Kinabalu. Rakan setugas Suamiku di CIMB cawangan Inanam membuat satu kejutan. Mereka merayakan majlis perkahwinan kami di Shangrila Tanjung Aru Resort. Dengan cahaya neon, lagu-lagu instrumental, ucapan-ucapan tahniah dan hadiah membuat aku terkesima. Wah, siapa sangka ada juga insan yang sudi memberikan hadiah yang begitu mahal harganya. Lihatlah begitu agung dan adilnya Allah. Majlis perkahwinanku di Tenom hancur tapi Dia menggantikan dengan majlis lain yang tidak pernah aku bayangkan dalam diari hidup.
Kemudian pada 29 mac majlis perkahwinanku disebelah pihak suami berlangsung di kampung Darau Menggatal. Terima kasih untuk kakak dan abang iparku yang ternyata berusaha memberikan yang terbaik sebagai merawat dukaku. Walaupun sederhana tanpa muzik kerana sepupu suamiku baru juga meninggal, namun segalanya berjalan lancar. Terima kasih juga untuk ayah Ha dan adik yang hadir memberikan aku sebuah buku puisi yang mengucapkan tentang semangat.
Bila difikirkan kembali, aku tau Allah sengaja memilih aku untuk menikmati sebuah majlis perkahwinan yang dilanda banjir. Aku orang istemewa kerana dalam seribu barangkali Cuma seorang dua yang menikmati detik-detik sebegini. Allah mahu aku merasai semua suasana. Suasana duka ketika air bah melimpah, suasana riang ria berada di Shangrilla Resort dan suasana kekeluargaan di kampung Darau. Bila difikirkan kembali, apa yang aku rasakan ini bukan apa-apa. Ada lagi orang lain yang ternyata begitu hebat diuji. Benar ada lagi yang begitu hebat diuji.
15 mac pelamin anganku musnah. Namun pada detik itu juga Sungai Meligan Sipitang menghantar bala tenteranya hingga seorang remaja berusia 19 tahun hilang dibawa arus. Seluruh warga kampung bergotong royong mencari remaja malang itu. Akhirnya beberapa hari kemudian misteri kehilangan gadis remaja itu terjawab. Mendiang Caroline menjadi mangsa amukan Sungai Meligan. Nah, aku Cuma kehilangan pelamin anganku, sedang mereka kehilangan orang yang paling dikasihi.
Aku akan sentiasa percaya bahawa sesungguhnya setiap yang berlaku walau bagaimana pun buruknya ia, ia tetap mengandungi hikmah. Harus redha dalam menghadapi ujian Allah. Apabila sampai ke tahap itu, kita akan merasa nikmatnya tanpa ada rasa sesal dan kecewa.
Terima kasih pada ayah bonda yang mengasihi dan merestui pilihanku. Terima kasih kepada abang dan kakak yang memberikan aku semangat saat aku lemah. Terima kasih untuk suami tercinta yang selalu memujuk ketika aku merajuk dan memberikan aku ruang untuk mengenali diriku. Terima kasih untuk seluruh warga kampung Saga Laut, Batu- Batu, Karangan Baru dan Darau yang selalu ada saat aku ketawa dan menangis. Terima kasih pada hari kelmarin yang membuka pintu peristiwa untuk aku memahami gelora hidup manusia. Terima kasih untuk segalanya.

15 March 2010

NiKmAt SeBuAh SeNyUm

Aku merasa damai ketika menatap wajah ini. Wajahnya tenang, damai dan lembut. Sesungguhnya aku tidak pernah puas menatap potretnya. Meski kini wajah itu sudah kelihatan garis-garis usia, aku tetap setia bersamanya. Aku bangga dengan wajah ini. Dia sesungguhnya perempuan lembut yang penuh dengan semangat. Lihatlah, dia tetap senyum anggun dengan tiaranya meski saat potret ini dirakam batinnya menangis. Ya, kerana pada saat si cantik ini disandingkan, pelamin angannya musnah tiba-tiba. Air bah yang meluru hadir menghanyutkan singahsana si puteri. Tapi dia masih sempat merakam sebuah potret sekadar untuk kenangan. Aku tahu hatinya begitu terluka dengan petaka yang menimpa, tapi sesungguhnya dia benar-benar tabah. Ya Rabbi, biarkan dia sentiasa begini dalam cekal dan tabah melawan awan kabut.

13 March 2010

abg eman yg comel



Ini permata hati kami sekeluarga. Hadirnya dia menceriakan suasana. Senyumnya terlalu tulus membahagiakan sukma. Semoga Abang Eman akan tumbuh membesar menjadi warga yang sempurna akhlak dan kekal ceria. Sayang selamanya.

07 March 2010

layar si anak kampung

Dan anak kampung itu pun,
Berlari dengan kaki telanjang
Menghitung lintah disetiap petak sawah
Dengan tubuh bergelumang lumpur pekat.

Sesekali mendongak ia ke langit
Merenung teriknya pancaran matahari
Mengesat peluh dan keringat
Dari dahi yang kian lelah berdaki.

Hujan tetiba menderu pantas
Jatuh tanpa kabar menyirami tanah gersang
Anak kampung itu berlari pulang
Dengan batang tubuh yang kebasahan.

Malam,
Pekat,gelita dan diam
Kejora hilang tanpa bayang-bayang
Dia pun meneropong
Di sebalik cucuran atap hayat
Mencari segugus anak kunci kekuatan
Bekal meredah liku hari esok
Dalam episod kembara panjang.

Dan anak kampung itu pun,
Tertidurlah dipeluk angan-angan.