07 May 2011

Cerpen : Kalawon Murut

Kalawon Murut

Suasana perkampungan rumah panjang yang biasanya meriah, tiba-tiba petang itu bertukar hiba sambil sesekali kedengaran esak tangis yang menyayat hati. Rumah panjang yang terletak di kampung Silungai mukim Pegalungan menerima sebuah berita duka. Talimoh Bin Batanda, seorang Kalawon Murut merangkap ketua kampung yang sangat disegani itu telah pergi selamanya kepada yang Maha Kuasa. Dan tetangga yang terkejut menerima berita itu, masing-masing kebingungan seakan tidak percaya bahawa Sang Kalawon Murut itu sudah meninggalkan mereka selamanya.

“Tadi pagi, dia sempat lagi bah minta buat saya Enau sama sup ikan Salarong. Lepas makan Enau, dia cakap dia sakit dada dan susah bernafas. Saya suruh si Ansatu urut bapa dia. Tau-tau tidak sampai sepuluh minit dia sudah tiada” Dan Ambunga isteri kepada Sang Kalawon Murut itu, akan mengulang-ulang cerita yang sama setiap kali para tetangga bertanya punca kematiannya. Lalu tiap detik itu jugalah air matanya mengalir menangisi sebuah kehilangan. Ansatu, yang ura-ura mengatakan akan menggantikan tempat mendiang bapanya sebagai Kalawon Murut, kelihatan cukup tenang. Sesekali dalam renyai hujan, dia memalu gong sebagai isyarat perkabungan dan sesekali lolongan anjing panjang kedengaran.

Genap tiga hari, maka detik-detik terakhir Sang Kalawon yang berkelana di dunia manusia itu pun sampai ke penghujung. Sebelum mentari terik di atas kepala, keranda kayu yang penuh ukiran itu akan diusung menuju perkampungan abadi. Sebelum keberangkatan, sebagai anak tua, Ansatu membaca riwayat bapanya itu untuk penghormatan yang terakhir kali. Dan gambar-gambar Sang Kalawon yang tergantung di ruang tamu, perlahan-lahan diterbalikkan sebagai tanda dia sudah tiada.

“Talimoh Bin Batanda lahir pada 12 Julai 1940. Dia adalah seorang suami dan seorang bapa yang penyayang. Selama hampir lima belas tahun, dia menjadi ketua kampung yang memimpin perjalanan dan perjuangan kita di kampung ini. Dia juga seorang kawan dan sahabat yang selalu ada saat diperlukan. Dia lelaki gagah lagi perkasa yang mampu menebas hutan belantara menjadi sebuah perkampungan. Dia hebat bermain senjata, menyelam di sungai deras dan dialah Kalawon Murut yang pernah berjuang mengusir penjajah. Kini Kalawon Murut kita ini sudah tiada, dan yang tertinggal buat kita hanya kenangan” Lalu keranda kayu itu pun diusung menuju tanah perkuburan.

Sudah hampir dua minggu perginya Sang Kalawon namun kehilangannya masih diratapi oleh seluruh masyarakat kampung. Mereka bagai seorang anak yang kehilangan orang tua sebagai tempat bergantung. Lebih merisaukan, jawatan ketua kampung yang automatiknya merangkap Kalawon Murut juga masih kosong dan belum terisi. Entah mereka sendiri keliru menentukan siapa yang layak. Ansatu yang ura-ura panas mengatakan akan mewarisi takhta mendiang bapanya dilihat sebagai calon paling sesuai. Tetapi dari satu sudut ada juga yang mengatakan dia masih mentah malah ilmunya terlelalu cetek. Berita pencarian Kalawon Murut Baru cepat tersebar di perkampungan hutan hujan tropika itu. Malah berita itu lebih cepat tersebar berbanding berita kematian Kalawon Lama. Lalu satu jawatankuasa yang dianggotai oleh orang-orang lama pun dibentuk bagi mencari resolusi siapa yang lebih layak menjadi Kalawon Murut seterusnya.

“Saya fikir, Ansatulah calon yang paling layak menjadi Kalawon Murut” Aman Pulutan antara orang lama di kampung itu meletak kepercayaan ke atas bahu pemuda yang baru kehilangan bapanya itu.

“Tapi saya rasa kau juga layak bah Pulutan jadi Kalawon Murut. Kau sahabat karib kepada Kalawon Lama kita. Kau banyak tahu tentang adat-adat bangsa kita.” Aman Simukol pula lebih percaya kepada keupayaan si Aman Pulutan. Dan dengan hujah Aman Pulutan membalas kata-kata sahabatnya itu.

“Begini bah Simukol, kita ini orang-orang lama. Kita dari muda sudah biasa menjadi ketua. Kita sudah biasa merantau sampai ke Lumbis, ke Mansalong dan Kabupaten Malinau. Jadi sekarang kita mesti bagi peluang sama anak-anak muda kita untuk jadi ketua. Kita ini cuma memerhati saja dari jauh dan menolong bila perlu” Mendengar itu, Aman Simukol dan ahli mesyuarat yang lain mengangguk-angguk.

“Em, kawan-kawan saya rasa si Jamadin anak si Samaan itu pun boleh jadi Kalawon. Kamu ingatkah masa pesta menuai bulan lalu dia kasih sumbang dua ekor kerbau dan lima ribu ringgit. Lagi pun dia anak jati kampung kita juga” Aman Linus tiba-tiba mencalonkan satu nama bukan pilihan. Malah nama itu tidak terlintas pun di fikiran yang lain untuk disebut.

“ Si Jamadin, bolehkah dia jadi Kalawon Murut? Mampukah dia jadi ketua kampung dan pemimpin?” Hampir semua ahli mesyuarat meragui kemampuan anak muda yang tiba-tiba mendapat undian dalam carta pemilihan Kalawon Baru.

Bagi dia peluang bah. Lagi pun dia banyak membantu orang-orang kita”

“Baiklah, ada siapa-siapa lagi yang kamu mahu memberi cadangan. Kalau tiada kita sebulat suara memilih Ansatu dan Jamadin sebagai Kalawon Murut” Aman Pulutan bersuara.

“Hah, dua-dua jadi Kalawon, jadi ketua kampung. Mana boleh” Mereka semua membantah keliru.

“Bukan, begini bah kita calonkan mereka berdua. Kita buat undian siapa yang lebih banyak dipilih, dialah Kalawon. Kalau ikut kelayakan memang Ansatu layak tapi seperti yang si Linus cakap, kita tidak boleh juga membelakangkan Si Jamadin sebab dia banyak berjasa untuk kampung ini. Jadi nanti pandai-pandailah orang kampung pilih Kalawon yang benar-benar layak” Lalu mesyuarat petang itu pun bubar mewujudkan dua pencalonan dan yang paling ironi barangkali yang dicalon itu sendiri tidak tahu dirinya tercalon terutama si Jamadin pemuda murut yang berwajah polos.

Ansatu tersenyum bangga saat dimaklumkan bahawa dia dicalonkan sebagai Kalawon Murut. Dia tidak terkejut dengan berita itu malah dari awal-awal lagi dia sudah menjangkakannya. Dia sendiri yakin dia layak. Seluruh hutan belantara di kawasan kampung mereka itu sudah dihafalnya mana yang landai, mana yang curam, mana yang banyak babi buruan dan mana yang berpacat. Adat istiadat Murut juga dia lebih maklum termasuk pantang larang dan denda sesuatu kesalahan. Di matanya Jamadin hanya anak mentah yang terlalu naif menyelami kehidupan seorang Kalawon Murut.

“Bah saya setuju juga bah kalau Aman Linus fikir saya memang layak untuk bertanding merebut kerusi Kalawon Murut. Lagi pun saya juga berhasrat untuk membantu orang-orang kita dalam semua aspek. Tapi itu semua juga bergantung kepada undian orang-orang kampung. Apa pun terima kasih sekali lagi kerana Aman Linus memberi saya kepercayaan.”

Dan sesungguhnya, pemuda bernama Jamadin itu sedikit terkesima saat Aman Linus memaklumkan kepadanya berita pencalonan itu. Dia tahu, untuk menjadi Kalawon Murut bukan mudah tapi demi mengubah bangsanya yang jauh ketinggalan dia rela berkorban. Namun, untuk menggulingkan Ansatu juga bukan mudah. Dia memiliki barisan jentera yang kuat malah dia lebih dikenali di rimba belantara ini. Tetapi, sesungguhnya tiada yang mustahil.

Tidak pernah berlaku dalam dekad-dekad lepas, kampung mereka ini akan tumbuh dua fahaman yang berbeza. Satu fahaman yang menyokong Ansatu dan mereka percaya bahawa untuk menjadi seorang Kalawon Murut dia harus bijaksana bermain senjata, tangkas berburu di hutan luas, mahir menyelam dan tahu selok belok budaya orang murut. Dan fahaman ini dianggotai oleh orang-orang lama yang masih kental kepada kepercayaan aninisme. Manakala fahaman yang kedua adalah mereka yang menyokong propaganda seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi yang percaya bahawa seorang Kalawon Murut harus intelektual demi membasmi kemunduran bangsanya. Dipelopori oleh Jamadin Samaan dan penyokong-penyokongnya terdiri dari anak-anak muda yang sudah pernah keluar melihat pembangunan di tempat orang.

Sebelum waktu pengundian tiba, bertempat di balairaya kampung Silungai kedua-dua calon tersebut diberi peluang untuk berdebat dan meraih undi daripada seluruh masyarakat kampung. Bagi orang-orang kampung, peristiwa itu adalah suatu sejarah yang julung-julung kali berlaku di kampung mereka. Ansatu tiba lebih awal dengan berpakaian tradisi murut dan kakinya yang agam itu penuh dengan ukiran. Wajahnya ketus seperti baru sahaja kembali dari medan tempur dengan kemenangan memenggal kepala lawan. Jamadin Samaan tiba beberapa minit kemudian. Wajahnya tetap polos, tenang dan kaca matanya itu ternyata memperlihatkan keintelektualan. Dia melangkah yakin meski cuma memakai kemeja biru laut dan seluar hitam. Sidang debat pun bermula.

Kansayaan Ra Susuab Pahaka-Pahaka Ku Kakawi” Ansatu memulakan medan debatnya dengan ucap selamat buat mereka yang hadir. Dia merenung mereka satu-satu dan dia menyambung pengucapannya lagi. “ Pahaka-pahaka, sudah jadi adat bagi kita untuk memilih seorang Kalawon Murut yang dapat menyambung warisan dan tradisi kita. Pertama sekali, terima kasih untuk pahaka-pahaka yang memilih saya sebagai calon dan meyakini kemampuan saya. Sebagai anak kepada bekas Kalawon Lama, sudah tentu saya lebih banyak pengetahuan, pengalaman dan kelebihan. Seperti yang pahaka-pahaka, tahu saya cekap berburu, mahir bermain sumpitan malah saya yakin pahaka-pahaka semua masih ingat saya pernah mengalahkan seekor buaya ketika sedang dalam perjalanan ke Salong. Kawasan petempatan di atas bukit seperti yang pahaka-pahaka lihat, itu pun diteroka oleh saya bersama mendiang bapa saya. Hubungan baik penduduk – penduduk kampung ini dengan Kalimantan Indonesia terutama sekitar Lumbis juga atas usaha saya dalam mencari persaudaraan.

“Jadi adakah pahaka-pahaka, belum yakin dengan kemampuan saya? Adakah pahaka-pahaka masih mahu memilih calon lain yang jarang berada di kampung ini kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan. Cuba bayangkan jika tiba-tiba kampung kita ada masalah dan waktu itu juga Kalawon Murut tiada di kampung ini. Kepada siapa pahaka-pahaka mahu merujuk. Bukankah itu suatu kesulitan bagi kita. Sedarkah pahaka-pahaka, walaupun kita dikatakan ketinggalan tapi kita hidup aman damai. Sedangkan calon yang satu lagi mahu membawa pembangunan buat kita. Cuba bayangkan jika dia meminta kepada kerajaan agar memindahkan kita ke petempatan baru atas alasan jarak yang terlalu jauh. Sanggupkah pahaka-pahaka meninggalkan kampung ini? Tidak mustahil kita akan pecah belah seperti yang terjadi kepada pahaka-pahaka kita di Salarom. Mereka terpisah oleh petempatan baru dan timbulnya Salarom Taka dan Salarom Baru. Pahaka-pahaka mahu itu terjadi? Kalau tidak mahu, pilihlah saya sebagai Kalawon Murut yang baru”

Hujah demi hujah yang dilontarkan oleh Ansatu mendapat tepukan gemuruh. Saat dia mengutarakan isu petempatan baru, hampir seluruh isi sidang mengangguk-angguk dengan wajah mereka terlihat kegusaran. Barangkali mereka sama sekali tidak mahu nasib yang menimpa masyarakat Salarom menimpa mereka juga. Walhal mereka tidak sedar semuanya itu demi untuk kelangsungan sebuah bangsa iaitu Murut agar dapat sama menikmati pembangunan. Dan beban yang digalas oleh Jamadin Samaan untuk mengubah cara berfikir bangsanya itu terlalu berat. Dengan langkah berani seorang graduan dia menuju ke depan.

“Selamat pagi, selamat sejahtera dan terima kasih buat saudara-saudara yang sudi hadir pada hari ini. Terima kasih juga kepada saudara-saudara yang telah memilih saya sebagai calon. Sebagai anak jati kampung ini dan sebagai anak murut asli saya juga yakin saya layak untuk menjadi seorang Kalawon Murut. Walaupun mungkin saya tidak sehebat Ansatu yang tangkas bermain senjata, bertarung dengan buaya dan menebas hutan rimba menjadi petempatan, saya akan membantu saudara-saudara dari sudut yang lain” Belum pun separuh isi ucapan yang dilemparkan oleh pemuda berwawasan itu, dia melihat ada yang sudah tertidur dengan dengkur meninggi. Ada yang ketawa mendengar cerita lucu teman di sebelah dan tidak kurang yang bertukar-tukar kotak mancis sambil asap berkepul memenuhi ruang udara. Belum cukup dengan itu, anak-anak kecil dengan baju besar, kaki telanjang dan lenja di pipi terpekik-pekik mengejar anak-anak anjing yang berkurap. Akhirnya suara pemuda itu tenggelam dan dia cuma bermonolog tentang perjuangan bangsanya sendirian. Lalu saat majlis itu bubar pun, dia tidak melihat sedikit pun perubahan dalam kotak minda orang-orang kampungnya melainkan penyokong-penyokongnya sahaja.

Hari ini dalam sejarah, begitulah setiap bibir mengungkapkan kalimat itu sambil tersenyum-senyum memegang kertas putih dengan gambar calon yang harus dipilih. Pelbagai karenah dan telatah yang mencuit hati dan menjengkelkan pun ada. Tentunya yang menjengkelkan itu adalah golongan-golongan mereka yang masih mahu berjuang untuk tradisi sedang tradisi itulah yang menjadikan mereka bertambah mundur.

Akhirnya, keputusan sudah terjangka dari awal dan Jamadin akur dengan keputusan itu. Ansatu Bin Talimoh unggul sebagai peneraju Kalawon Murut baru. Dia menang banyak dan dengan mudah mengalahkan lawannya Jamadin Samaan yang kepingin benar mengheret bangsanya menyapa kemajuan. Tapi apakan daya, seluruh warga telah membuat pilihan mereka dan dia akur dengan takdirnya.

Dalam rintik hujan, dia bermonolog lagi bahawa sesungguhnya untuk mengubah pemikiran sesuatu bangsa bukan mudah meski bangsanya sendiri. Untuk membuat mereka mengerti bahawa dunia yang sekarang ini sudah tidak memandang lagi tentang dunia kependekaran juga sesuatu yang sukar. Umumnya, untuk menyedarkan bangsa Murut dari lena bukan memakan masa sehari dua. Ia perjuangan yang panjang dan berterusan. Lalu dia yang selalu berfikir positif itu, berkata begini dengan berani, perjuanganku bukan berakhir sebenarnya tapi ia baru saja bermula.

Perlukah seseorang itu harus dulu menjadi Kalawon Murut untuk membantu memberi nafas kemajuan untuk bangsanya? Tidak! Sesiapa sahaja boleh menjadi wira meski dia orang kecil yang berjiwa besar. Lantas, Jamadin anak muda yang tidak terpilih menjadi Kalawon Murut itu tetap bertekad membantu seluruh warganya demi kelangsungan sebuah bangsa Murut yang berjaya.

“ Ansatu, kau barangkali memang telah ditakdirkan lahir sebagai Kalawon Murut dan aku memang juga telah ditakdirkan hidup sebagai seorang usahawan juga pemikir kehidupan” Tapi ketahuilah, aku tidak akan pernah menyerah apalagi mengaku kalah dalam membawa idealisme pembangunan buat kalian. Kerana aku sedar anak-anak kecil kita yang masih hijau memerlukan suatu anjakan paradigma dan kita harus menyokong mereka agar mampu mengheret bakat mereka keluar.

Tiba-tiba paluan gong keramian tanda pesta sedang bermula mengisi liang udara. Lalu gempitalah langit juga, menyambut kelahiran seorang ketua. Ansatu Bin Talimoh diarak keliling kampung,dan kini dialah Kalawon Murut Baru dan Jamadin Samaan tetap unggul menyulam falsafah demi falsafah tentang perjuangan bangsanya.

1. Enau : sejenis makanan ( sagu / ambuyat )

2. Kalawon Murut : Pahlawan Murut

3. Kansayaan Ra Susuab Pahaka-Pahaka Ku Kakawi : selamat pagi saudara-saudara ku sekalian

4. Pahaka-pahaka : saudara-saudara