07 May 2010

Catatan Buat Seorang Sahabat


Buat Sahabat Karibku Yang Banyak Mengajar Aku Erti Persahabatan

(Mr. Ugil Anak Kalom 2008-2009)


buat suami : abang dia seorang teman yang kuberikan persahabatan, dan dirimu adalah

kekasih yang kuberikan percintaan.. semoga bisa kau mengerti...


Kawan ketika kau membaca coretan ini kudoakan semoga kau berada dalam kesejahteraan. Sengaja aku menulis catatan ini sebagai tanda aku masih mengingati dirimu sebagai sahabat yang paling baik. Terlalu banyak yang kau berikan hingga kadang-kadang aku tidak tahu bagaimana untuk membalasnya.


Gil... aku masih mengingati perjalanan sejam tiga puluh minit yang sering kita tempuh bersama itu. Aku masih ingat perbahasan yang sering kita utarakan tentang kehidupan masyarakat di sini yang terlalu sulit untuk dimengertikan. Lalu kadang-kadang kita sama-sama buntu dan keliru apabila semua persoalan itu gagal terjawab.


Gil... aku masih ingat semuanya. Aku masih ingat kata-kata semangat yang kau berikan saat aku hampir mengalah pada ujian yang tak terduga. Aku masih ingat keseriusan wajahmu bila kita mengutarakan isu berat. Sesungguhnya aku masih mengingati semuanya.


Gil.. aku juga masih ingat saat kau melangkah meninggalkan tempat ini menuju destinasi lain. Dan detik itu, aku terkaku siapa lagi teman sebaikmu yang aku miliki di sini. Siapa lagi insan yang sudi membawaku dalam perjalanan sejam tiga puluh minit. Sesungguhnya aku benar-benar kehilangan seorang kawan yang amat ikhlas dan supir yang terlalu menghormati kedudukanku sebagai kepunyaan orang.


Gil, kau tahu setelah kau tinggalkan tempat ini bermacam yang aku tempuhi sendirian. Aku memilih orang lain untuk kutumpangi, namun sayang dia tidak sepertimu yang menghormati kedudukanku. Gosip liar mulai timbul dan yang anehnya dia malah senang dilontar gosip sebegitu. Dan detik itu aku mula faham nasihatmu dulu berhati-hati dalam memilih persahabatan.


Gil.. Pada ruangan ini aku rakamkan sejuta terima kasih kerana menjadi sahabat suka dan duka. Terima kasih untuk semua perjalanan sejam tiga puluh minit yang pernah kita tempuh bersama. Terima kasih untuk segalanya. Semoga hari-hari yang kau lewati akan disinari dengan keriangan dan aku akan sentiasa mendoakan.

No comments:

Post a Comment